CUTI SEKOLAH, NAK BUAT APA?
Cuti sekolah datang lagi....nasib baik seminggu aje pada bulan Mac ini. Lepas tu mengadap pula cuti bulan Jun, selama 2 minggu, diikuti pada bulan Disember selama 6 minggu.Yang gembiranya anak-anak, tapi bagi ibu-bapa yang bekerja, pelbagai perkara difikirkan. Teringat pula ketika anak-anak masih kecil, selamba aje mereka berkata pada saya-“Mama, cuti sekolah bulan Disember ni kita pergi London nak?” Nak tersembur air di minum ketika tu, lalu dibalas “Ingat pergi London macam pergi Chow Kit ke? Mana nak cari duit?” Lantas balas si kakak-“ Tapi tengok kawan kakak tu boleh aje pergi? Best ma, kakak tengok gambar dia di London, teringin pula nak ambil gambar di Trafalgar Square, posing bersama Michael Jackson di Madame Tussauds dan bermain salji” “Yalah, balas ku, kawan kakak tu family dia mampu, buat apa kita nak ikut orang, nanti yang susah kita juga”.
Inilah salah satu perkara yang difikirkan ibu-bapa apabila tiba musim cuti sekolah, ke mana hendak bawa anak-anak bercuti. Cuti bermakna: RM (RINGGIT MALAYSIA) yang perlu di rancang dengan berhemah. Bagi yang mampu, tiada masalah-mahu ke mana sahaja baik London, Paris atau New York pada setiap cuti penggal persekolahan pun tidak mengapa, tepuk dada tanya selera. Tetapi bagi golongan marhaen seperti diri saya ini, perlu membuat perancangan teliti, jika tidak, budget pun lari.
Sebab itulah ibu-bapa perlu memikirkan aktiviti kreatif yang boleh mengisi masa percutian anak-anak supaya mereka tidak bosan. Bagi ibu yang bekerja seperti saya, tidak mungkin dapat membawa mereka bercuti setiap penggal persekolahan kerana tuntutan tugas dan cuti yang perlu disimpan untuk urusan yang lebih penting.
BOSAN NYA ....NAK BUAT APA?
Ungkapan di atas akan pasti didengar dari anak-anak jika ibu-bapa tidak merancang aktiviti untuk mereka. Beri anak-anak sedikit ruang jika mereka merungut yang mereka merasa bosan-sudah menjadi lumrah kanak-kanak mahupun remaja, mereka sentiasa aktif dan bertenaga dan tidak boleh duduk diam.
AKTIVITI SEMASA CUTI SEKOLAH
Fikirkan aktiviti kreatif yang tidak memerlukan bajet yang besar. Cuti sekolah selama 6 minggu boleh mengendurkan bank akaun anda dengan permintaan untuk menonton wayang, beriadah di taman tema seperti Sunway Lagoon serta keluar membeli-belah. Trip ke pasaraya bersama anak-anak bermakna troli anda akan di masukkan oleh mereka dengan barang makanan seperti yang dilihat di iklan televisyen. Maka melayanglah lagi kad kredit anda.
Untuk menjadikan cuti sekolah sesuatu yang lebih mudah/menjimatkan perbelanjaan, aktiviti seperti ini boleh dipertimbangkan:
JOM TENGOK WAYANG
Anda tidak perlu membawa anak ke panggung untuk menonton wayang-wujudkan panggung di rumah anda. Belikan pop-corn, sewa/beli video dan gelapkan bilik dengan menutup langsir/bidai. Buatkan tiket untuk ‘dijual’ kepada kawan-kawan anak anda. Jadikan suasana seolah menonton wayang dipanggung-cara ini lebih menyeronokkan kerana anak anda menonton dengan orang yang mereka kenali, jadi mereka bebas untuk ketawa dan membuat bising!
MALAYSIA'S NEXT TOP MODEL
Selongkar laci dan cari alat solek lama yang anda tidak perlu lagi-lipstick, eyeshadow, mascara, blusher. Tak kiralah Rimmel ke, Bobbi Brown atau bedak sejuk-biarkan anak dara anda berseronok bermain beauty make-over! Sekarang anda boleh jadi beauty stylist atau biarkan mereka bergilir menggunakan make-up dan mendandan rambut. Pinjamkan mereka kasut tumit tinggi anda dan voila! mereka sudah boleh pergi casting untuk Malaysia’s Next Top Model.
TEKA SILANG KATA ONLINE
Teka silang kata, word search, join the dots merupakan permainan dalaman yang amat diminati kanak-kanak/remaja. Di zaman online ini, tak perlu habiskan duit untuk membeli buku teka-silangkata untuk anak anda. Suruh mereka down-load dari internet dan tampalkan pada kertas keras supaya senang untuk di tanda. Peminat Sudoku juga boleh menggunakan cara ini.
BACALAH ANAKKU
Rajin-rajinlah baca akhbar/majalah untuk mendapatkan maklumat tentang sesi bercerita untuk kanak-kanak. Kedai Buku MPH tidak mengenakan sebarang bayaran bagi sesi bercerita dan Learning Camp yang diadakan di pemis mereka. Ibu-bapa juga akan diajar cara untuk memilih buku yang sesuai dibaca untuk anak-anak.
MAIN MASAK-MASAK
Tidak mengapa jika anda tidak mempunyai pembantu rumah untuk membersihkan dapur-pejamkan mata demi anak-anak pada musim cuti sekolah ini. Biarkan kreativiti mereka dilepaskan di dapur anda. Lihat saja AUSTRALIA JUNIOR MASTERCHEF, bakat kanak-kanak di sana adalah hasil sikap sporting ibu-bapa dalam memberi ruang kepada anak-anak untuk memupuk kreativiti dalam bidang masakan. Keluarkan buku resipi lama anda atau cari di internet. Lakukan aktiviti ini bersama mereka, tidak mengapa jika kek sedikit bantat atau caramel terlalu hangus, yang penting anda dan anak-anak seronok.
KRAFTANGAN
Kumpulkan kertas, pen, gunting, pensil warna, akhbar lama, kain perca dan galakkan anak-anak menghasilkan kraftangan. Cari idea dari majalah, akhbar mahupun internet. Tak perlu membeli buku kraf yang mahal harganya. Atau lebih mudah, cipta ide sendiri untuk menghasilkan karaf yang menarik.
JALAN-JALAN
Jika anda sering menggunakan kereta sebagai pengangkutan, tukar kaedah pada musim cuti ini. Naik pula keretapi, ERL atau LRT untuk membawa anak-anak bersiar. Mereka akan merasa teruja kerana cara ini lebih adventorous. Bagi kita pula, cara ini lebih menjimatkan.
BERKELAH
Selalu makan di restoran akan menjemukan anak-anak.Cari persekitaran di mana semua ahli keluarga akan enjoy semasa berkumpul. Salah satu caranya ialah dengan berkelah. Masakkan makanan untuk keluarga dan bawa ke pantai atau taman untuk dimakan bersama, tanpa McD, pizza dan lasagne pun, pasti lebih menyelerakan dan menjimatkan.